Syukur Ayah Saya Kedekut

Ya, ayah saya dilabelkan sebagai ‘kedekut’ oleh mak saya sebab ayah suka simpan duit dari berbelanja. Sikap ayah yang suka menyimpan dari zaman muda telah banyak membantu keluarga kami terutama ketika hadapi masalah kewangan. Sebenarnya, peristiwa ini hanya diceritakan kepada saya dan adik-adik saya selepas mak dan ayah saya telahpun selesaikan masalah yang mereka hadapi. Kami adik beradik tidak tahu pun yang kami sedang dilanda masalah yang besar.

Perkara ini berlaku apabila mak terima sepucuk surat dari seseorang yang tidak diketahui. Kandungan surat itu hanyalah keratan akhbar yang menyatakan bahawa ayah saya telah diisytiharkan muflis. Puncanya ialah ayah saya telah menjadi penjamin kepada kawan dalam perjanjian jual-beli membeli kereta. Ayah saya tidak tahupun yang kawannya tidak membuat bayaran setelah sekian lama. Ayah pula menjadi sasaran pihak bank untuk menuntut hutang. Mak sudah mula risau. Semua akaun bank ayah telah dibekukan. Rumah yang kami tinggal pun bawah nama ayah.

Tanpa pengetahuan kami adik beradik, mak dan ayah ke Kuala Lumpur turun naik mahkamah untuk selesaikan masalah ini. (Bila mereka pergi ke Kuala Lumpur pun kami tidak tahu sebab kami adik beradik sekolah harian di Melaka.)  Akhirnya, ayah sebagai penjamin dikehendaki membayar hutang sebanyak RM10 ribu. Mujur ayah ada simpanan sebanyak itu. RM10 ribu pada tahun 1990-an bukanlah satu jumlah yang sedikit. Mahkamah benarkan ayah keluarkan wang simpanan dari akaun Tabung Haji untuk selesaikan masalah tersebut. Alhamdulillah.

Sejak dari peristiwa itu, mak sering mengingatkan anak-anak supaya tidak menjadi penjamin kepada sesiapa pun. Simpan hak keistimewaan itu untuk anak-anak sendiri apabila mereka memerlukannya kelak. Saya tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada kami sekiranya ayah tidak membuat simpanan. Bermula dari peristiwa itu, saya telah mengambil iktibar untuk membuat simpanan bagi masa depan saya dan keluarga saya.

Walaupun ayah kuat menyimpan dan sering dilabel sebagai ‘kedekut’, tetapi untuk membeli buku akademik ayah tidak pernah membantah atau menolak. Malah digalakkan lagi. Saya masih ingat kami ke kedai buku dan jumpa buku rujukan yang saya perlukan. Tetapi harga agak mahal mencecah RM100 lebih. Buku rujukan dari luar negara untuk kegunaan pengajian saya ketika di UTM. Ayah paksa saya ambil dan terus buat bayaran di kaunter.

Jadi, ada dua benda yang saya tidak akan berkira-kira dalam berbelanja iaitu dalam makanan dan buku-buku. Untuk membeli barang-barang selain makanan dan buku, saya kedekut!

Terima kasih ayah, saya mewarisi sifat menyimpan dari ayah.

Sila kongsikan sekiranya bermanfaat:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Enjoy this blog? Please spread the word :)